Masih Lagi Ibu ~ Khadijah Hashim

Pada kala aku mengenang ibu
masih terasa eratnya pelukanmu
panas air mata membasahi pipi
tempatmu masih terpahat di hati
pasir berpindah pantai masih di situ
waktu berubah kasihku masih padamu.
Kesudahan hidup kematian yang pasti
pemergian yang kutangisi hingga kini
kasih sayangmu menggegar jiwa
ada tugas belum selesai
ada hajat belum tertunai
ada budi belum dibalas
bagai hutang yang belum dilangsai
terlalu banyak yang kuterima
terlalu sedikit yang sempat kuberi
kesalku kemewahan ini tak dapat dikongsi.
Nostalgia bersamamu kubiarkan segar
suka duka ingin kulalui bersama
kau cemas membalut lukaku di lutut
terseliuh kaki kau yang mengurut
rajukku sekejap pandai kaumemujuk
kasihmu menemaniku pada saatku dicabar
memilih antara antah dan beras
antara berlian dan kaca
zamrud mutiara di telapak tangan
masih ibu permata hatiku.

KHADIJAH HASHIM
Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur

Mujur Ada Secebis Tanah Berharga Emas ~ Khadijah Hashim

Disolek cantik digelar taman
kuhirup udara segar di waktu pagi
sesegar daun keladi menakung embun
sesekali kucemas diacah monyet jinak
sesekali terhibur mendengar suara unggas
ah! sungguh ikhlas nyanyianmu tiung
lontarkan suaramu wahai si murai
jangan malu jangan segan si riang riang
nyaring suara katak dari lopak
berteriak bagai tidak pernah sakit tekak
ini lagu damai kita kongsi bersama
merdu di telingaku jelas tidak sumbang

Dingin nyaman memenuhi taman
ketika rimbun buluh kuning disapa angin
lembut melambai rinduku
dibawa terbang
ke tanah kelahiran jauh di selatan
pagi ini aura kampung pindah ke sini

Terima kasih datuk bandar
kerana sejuring tanah ini tidak diusik
membiarkan pokok membesar
tidak ditebang
sehingga esok dan lama lagi

Khadijah Hashim
TTDI, Kuala Lumpur

Sepinggan Nasi Yang Sedap ~ Khadijah Hashim

Akal pintar memilih yang terbaik
andai terpilih mempelam berulat
kuterima takdir yang tersurat
reda menerima badai dan taufan
terus berikhtiar mensyukuri kehidupan
insaf akan balasan dan ujian Tuhan.

Tiada niat menongkah kebiasaan
kuturuti saja gerak arus fitrah alam
seperti menjemur pada kala hari panas
menadah air pada waktu hujan
bertukang setelah lengkap perkakas
memasak apabila cukup bahan.

Kubangga pada kebijaksanaan
mencanang wawasan jauh ke desa
aura penemuan baru biar banjir ilmu
melimpah ruah sampai ke tangga rumah
lalu terbuka pintu hati
berkongsi idea untuk hidup bererti
seperti sepinggan nasi yang sedap
biar habis dimakan bukan dibuang.

KHADIJAH HASHIMTTDI, Kuala Lumpur

Koleksi Puisi Khadijah Hashim - Mencabar Kepayahan

MENCABAR KEPAYAHAN

Krisis ekonomi baru virus baru
muncul pantas tanpa diduga
itu tembok berduri minta disapa
rugi jika tidak berani mencuba
malu jika tidak bereksperimen
mencabar akal mencari yang murni
di alam semesta diatur selesa
sedangkan langit belum runtuh
matahari masih terbit di Timur
murai merbah terus bernyanyi
rambutan pulasan ranum di dusun
setiap yang wujud berfungsi
sederap langkah akan ditanya
kenapa murung berputus asa?

Mari mendaki si Gunung Tahan
gunung yang hendak ditakluki
juga semangat diri sendiri
sama sukarnya menakluki Everest
tiada emas di puncak sana
pulangnya tanpa janji duit seguni
cuma emas lain dimiliki
lulus ujian mencabar kepayahan.

KHADIJAH HASHIM
TTDI, Kuala Lumpur

Ruang Istimewa Masih Terbuka ~ Khadijah Hashim

Ruang ini pusaka ayah bonda
dipenuhi haruman kasih sayang
selesa untuk berehat dan beribadat
di sini rasa kemanusiaan lebih mewah
jujur muhasabah diri lagi rela
insaf akan pahala dan dosa.

Ruang ini diikat seutas tali silaturahim
terjalin antara keluarga juga jiran
ikhlas menegur ingat-mengingatkan
menjaga lidah juga maruah
tergelincir di jalan cuma terkehel kaki
tergelincir lidah menyakitkan hati
tangan kotor hanya terpalit lumpur
hati kotor berdengki takut takbur.

Ruang cantik ini masih terbuka
peluang bertaubat dan berdoa
mematahkan jarum muslihat syaitan
mengharap diri tetap di landasan benar
mohon anugerah Ilahi berkekalan
permata iman dalam kawalan-Nya.

KHADIJAH HASHIM
TTDI, Kuala Lumpur

Mak Cik Global ~ Khadijah Hashim

Panas berdiang di tepi kuali
saban hari menggoreng
kerepek ubi
muka mak cik tetap berseri-seri
jualan di pasar tani selalu habis
kerepek mak cik semakin laris
dari Rengit sampai ke kota Paris.

Bakul yang cantik halus anyaman
mak cik gembira mendapat pujian
berbaloi luka di jari meraut pandan
tidak terasa pedih membelah rotan
jauh bakul mak cik dibawa berjalan
dari Felda Sungai Koyan
ke kota London.

Ini hidangan minum petang mak cik
bersama anak cucu tersayang
lemak harum murtabak digoreng
tercium baunya sampai ke Dubai
mulanya dicuba-cuba selera orang
kini juadah mak cik jadi kegemaran
yang dekat datang mencari
yang jauh sempat berkirim.

Jenama Mak cik Global
sudah dikenali
hasil usaha
nikmat disyukuri
jauh perginya
bakul dan kerepek ubi
London, Paris
mak cik belum sampai lagi.

KHADIJAH HASHIM
TTDI, Kuala Lumpur.

Hikayat Si Rajin ~ Khadijah Hashim

Bekerja seperti tidak kering kuku
habis kapak berganti beliung
nama si rajin terpahat di atas batu
hujan dan panas akan tetap di situ
subur pohon lebat putik rajin
di hujung dahan segugus buah hasil.

Tuah si rajin bak pelampung
jatuh ke laut tetap timbul
bukan nasib batu jatuh terus kaku.
Diam si rajin diam berisi
bukan diam si lurus bendul
menang sorak kampung tergadai.

Beraninya semangat perwira berperang
tidak berundur sebelum menang
jika membantah beralaskan bukti
berbudi bak rambutan gading
pancaran emas kebun dan dusun
asalnya cuma sebiji benih yang kecil.

Bijaknya selari idea dengan tindakan
seiring doa mohon keberkatan
keringat yang tumpah ke bumi
seikhlas rezeki yang disyukuri
sepadan tenaga dengan upah
sepadan jasa dengan faedah.
KHADIJAH HASHIM
TTDI Kuala Lumpur.

Ditulis Oleh : Unknown Hari: 11:28 PM Kategori:

0 comments: