10 jenis lelaki perlu dijauhi


SUKARKAH mencari teman yang serasi, memahami, melimpah kasih sayang dan penuh pengertian? 

Ada kemungkinan menemui insan sedemikian, namun mungkin sukar untuk kekal menjadi kekasih setia.

Mungkin juga ramai wanita sanggup membujang sampai ke tua disebabkan kebanyakan teman lelaki yang didampingi tidak mendahulukan kejujuran dalam perhubungan. 

Justeru, wanita menjadi keras hati dan seterusnya mahu hidup membujang selama-lamanya kerana sasaran untuk mendapatkan lelaki yang terbaik semakin sukar.
Barangkali juga ada wanita yang sudah mempunyai seseorang untuk dijadikan sandaran masa depannya. Namun, pada masa sama, lelaki itu pula ramai teman wanita malah hanya mahu berfoya-foya, lantas dia bukanlah pilihan terbaik.
Terdapat juga segelintir wanita yang bahagia jika memperoleh lelaki jenis yang dimaksudkan - prihatin, simpati, romantis dan menepati apa yang dicari selama ini. 

Sebenarnya dalam dunia ini, ada pelbagai rupa lelaki sama ada berhidung belang, si buaya darat mahupun si kaki kikis yang nyata menyusahkan hidup.

Renungkan sedikit panduan berikut untuk membantu anda mencari pasangan. Wanita perlu berhati-hati dengan 10 jenis lelaki yang disenaraikan ini:

 Lelaki yang sering berkata: "Abang memang sayang kepada sayang, tetapi abang belum bersedia untuk hubungan yang serius". 

Bayangkan jika ada kaum Adam yang meluahkan kata-kata sedemikian sedangkan anda sudah menjalin hubungan lebih lima tahun dengannya. 

Ini bermakna anda bukanlah orang yang diharapkannya malah barangkali, anda tidak pernah ada dalam kamus hidupnya untuk dijadikan calon suri hidupnya.

• Lelaki yang sering menghubungi atau menghantar pesanan ringkas (SMS) tanpa mengira waktu. 

Dia akan mengeluarkan kata-kata manis apabila benar-benar memerlukan dan anda pula sekadar dijadikan alat untuk menghiburkan dirinya. Tetapi apabila anda memerlukannya, dia langsung tidak muncul. Beginikah lelaki yang anda harapkan sanggup bersusah senang bersama?

• Lelaki yang suka mengajak anda keluar seolah-olah teman tetapi mesra.

Anda berdua bagai merpati dua sejoli, makan malam bersama, tengok matahari terbenam di tepian pantai berdua malah ke majlis kenduri-kendara pun tidak pernah berenggang. 

Sekali pandang ramai yang pasti mengatakan anda berdua pasangan paling sepadan. Namun, pada lelaki terbabit, tidak terdetik pun di ruang hatinya yang kosong itu mahukan anda mengisinya. Jadi, jangan membuang masa.

• Lelaki yang sudah ada kekasih hati, tetapi tetap mahukan anda. 

Ini adalah jenis lelaki yang paling banyak spesiesnya. Mereka mempunyai ramai teman wanita dan mahu memiliki seramai mungkin untuk memenuhi nafsunya. 

Jika pernah terserempak dengannya bermesra dengan wanita lain, lalu siapakah anda di hatinya?

• Lelaki yang sering berfikir apa yang dilakukannya semua betul sedangkan pandangan anda semuanya salah. 

Ketika menjalin hubungan dengannya, anda sering ditengking kononnya anda saja yang bersalah pada hal kesalahan itu kecil dan tidak perlu diperbesarkan. 

Bagi dirinya, anda tidak berhak menegur dirinya yang dianggap serba-serbi ada kelebihan.

• Lelaki yang naif dan seolah-olah mementingkan dirinya semata-mata. 

Contohnya, lelaki yang tidak faham kehendak wanita walaupun anda sudah berterus terang mengenai sesuatu, tetapi dia tidak pernah ambil pusing. 

Dia sering menganggap semua perkara remeh dan selalu ambil mudah mengenai sesuatu perkara.

• Lelaki yang tidak tahu kehendak sendiri. 

Kalau dia tidak faham kehendak sendiri, apakah anda fikir dia akan faham masalah anda apabila melayari hidup berdua kelak?

• Lelaki yang selalu mengganggu anda. 

Walaupun sudah diberitahu terlalu sibuk, dia tetap tidak mempedulikan keadaan anda. 

Jika boleh, dia ingin berkepit sentiasa dengan anda tidak kira siang atau malam. Bahkan, anda bosan dengan deringan telefonnya yang benar-benar mengganggu ketenangan diri. 

Ada masalah yang remeh pun hendak diberitahu, menghantar SMS atau menelefon anda. Lama-lama anda rimas dan lemas.

• Lelaki yang suka mengutuk lelaki lain dengan harapan anda tidak akan mendekati lelaki yang dikutuk itu. 

Hakikatnya, dia seorang yang kuat cemburu dan anda di bawah pengawasannya. Padanya, lelaki lain langsung tidak boleh mendekati anda. Bolehkah anda hidup dengan lelaki yang cemburu setiap masa?

• Lelaki yang tidak dapat memberi layanan yang betul untuk seorang wanita.

Lagipun anda tidak nampak ciri kepimpinan yang ada padanya apatah lagi untuk menyandarkan seluruh harapan dan hidup anda padanya. 

Katakan 'selamat tinggal' saja jika akhirnya membuat anda kecewa dan merana....

Ditulis Oleh : Unknown Hari: 4:40 PM Kategori:

0 comments: